Mandikan Anak...
Meskipun anda mempunyai pembantu rumah yang menguruskan anak-anak pastikan anda menetapkan hujung minggu sebagai jadual untuk anda memandikan mereka. Sambil memandikan anak, berbual dan bergembiralah bersama mereka. Begitu juga jika anda menghantar anak ke rumah pengasuh atau nursery. Pastikan anda mempunyai kesempatan untuk menyiapkan anak sebelum menghantarnya.
Pamerkan Foto Keluarga...
Hiasi meja sisi katil atau meja kerja di pejabat dengan foto anda sekeluarga.Dengan zaman teknologi canggih ini anda juga boleh menyimpan gambar dalam komputer, dan telefon bimbit. Dengan cara ini, anak tahu yang dirinya sentiasa ada di hati anda.
Hubungi Anak...
Bila-bila masa ada kelapangan pada waktu pejabat, telefonlah anak di rumah sekadar untuk mendengar suara dan mengikuti perkembangannya. Di akhir perbualan, katakan "mama atau papa sayangkan kamu".
Pamerkan Hasil Kerja Tangan...
Setiap kali anak membawa pulang hasil kerja tangan yang dibuatnya di nursery atau sekolah, usah sekadar melihat dan memberikan pujian sebaliknya sediakan satu sudut untuk mempamerkan ciptaan anak. Jika ianya hasil lukisan, anda boleh mengumpulnya di dalam buku skrap. Anda juga boleh mempamerkannya di meja kerja anda.
Bawa Anak Ke Tempat Kerja...
Bila berkesempatan, bawalah anak ke tempat kerja untuk beberapa jam. Perkenalkannya kepada rakan sekerja anda dan tunjukkannya meja kerja anda. Pastikan dia tersenyum bangga melihat foto dan hasil kerja tangannya terpampang di situ.
Langgan Bacaan Kesukaannya...
Jika anak anda gemar membaca sesuatu bahan bacaan seperti komik atau majalah, langganlah bahan bacaan tersebut untuknya. Dengan cara ini, dia tidak perlu mencarinya di kedai sebaliknya menunggu komik atau majalah kegemarannya di muka pintu.
Beri Hadiah Pada Hari Biasa...
Tidak semestinya hadiah diberi sempena hari ulang tahunnya sahaja. Hadiah sebegini sememangnya sudah dapat diduga oleh anak. Apa kata jika anda memberikannya kejutan dengan menghadiahkannya sesuatu yang tidak diduga akan diperolehinya selain daripada hari ulang tahunnya.
Kucupan Dan Dakapan...
Ada yang berpendapat, anak dewasa akan merasa malu apabila dikucup dan didakap oleh ibu di depan khalayak ramai. Tiada salahnya untuk terus melakukannya meskipun anak sudah meningkat dewasa. Lakukannya sebelum anak masuk tidur, bangkit dari tidur dan sebelum anda bertolak ke tempat kerja.
Tinggalkan Nota...
Meninggalkan nota "I Love You" tidak terbatas untuk suami sahaja malah boleh dititipkan untuk anak. Selitkan nota tersebut di dalam beg sekolahnya, kocek seluarnya atau tampalkan di peti ais atau pintu biliknya.
Berkongsi Barang...
Anak perempuan yang meniti usia remaja lazimnya gemar melawa seperti ibunya. Sekali sekala, izinkannya meminjam barang milik anda yang memang sekian lama diintai-intai oleh anak dara sunti anda seperti barang kemas.
Dandankan Anak...
Sekali sekala tawarkan diri untuk mensyampu, menyisir dan mengikat rambut anak perempuan meskipun anak sudah cukup dewasa untuk melakukannya sendiri.
Perlawanya Keluar Berdua-Duaan...
Sepertimana anda keluar berdua-duaan bersama suami ketika zaman bercinta dulu, lakukan perkara yang sama bagi setiap orang anak. Terlebih dahulu, tanyakan ke mana dia hendak pergi dan kemudian tetapkan satu hari untuk keluar bersamanya. Dengan keluar berdua, anak mendapat perhatian yang sepenuhnya dari anda tanpa perlu bersaing dengan adik-adiknya yang lain.
Usah Jawab Panggilan Telefon...
Apabila keluar berduaan bersama anak, cuba elak daripada menjawab panggilan telefon yang dianggap kurang penting. Tumpukan perhatian kepada anak.
Berinya Peluang Memilih...
Bila anda sekeluarga pergi membeli belah, pastikan ada barang-barang tertentu yang boleh dipilih sendiri oleh anak. Tidak semua pilihan ibu bapa berkenan di hati anak. Jadi, sekali sekala, hormatilah pilihan anak tetapi pilihan tersebut perlulah berpada-pada.
Tetapi Janji...
Anak-anak memang suka menagih janji jadi jangan suka berjanji jika selalu mungkir. Sekali dua anda mungkir, mungkin anak tidak berasa apa-apa setelah mendengar alasan yang diberi tetapi jika setiap kali dia menagih janji, ada sahaja alasan anda, anak akan hilang kepercayaan. Pastikan anda kotakan setiap janji.
Bawanya Ke Tempat Kegemaran..
Seminggu sekali, luangkan masa untuk membawa anak ke tempat yang digemarinya seperti padang permainan, kedai buku atau perpustakaan.
Fahami Minat Dan Kecenderungannya...
Setiap anak memiliki minat yang tersendiri. Bagi berlaku adil, cubalah untuk memahami dan berkongsi minat mereka sama ada dengan memberi perhatian, dorongan atau mengeluarkan sedikit belanja bagi anak melaksanakan minatnya. Namun, pastikan anda masih boleh mengawal keadaan. Misalnya, jika anak meminati pasukan bola sepak Manchester United, anda boleh menemaninya menonton perlawanan yang disiarkan di televisyen atau setidak-tidaknya menyediakan minuman untuknya.
Berikan Kejutan...
Anak-anak gemarkan kejutan. Apa kata jika anda memberikan sesuatu yang sukar diperolehinya dengan wang saku sendiri. Contohnya membelikannya tiket untuk menyaksikan perlawanan bola sepak pasukan antarabangsa atau perlumbaan Formula 1 secara langsung di stadium dan litar.
Ambil Alih Tugas...
Sekali-sekala, ambil tugas yang lazimnya dipertanggungjawab kepada anak-anak khususnya sewaktu anak sedang menghadapi peperiksaan sekolah. Misalannya membasuh kasut sekolahnya, membuang sampah dan sebagainya.
Tonton Tv Bersama...
Pilih rancangan tv tertentu yang boleh ditonton bersama bagi mengeratkan perhubungan, berseronok dan membincangkannya bersama selepas menonton. Rancangan tersebut mungkin berbentuk lawak jenaka atau drama berbentuk kemasyarakatan.
Masak Makanan Kesukaan...
Jika pada hari kerja, anda menyediakan masakan yang ringkas dan mudah disediakan, pada hari cuti, cuba masuk makanan kesukaan anak-anak. Kemudian hidangkannya dengan cara hidangan yang istimewa seolah-olah anda sedang meraikan hari istimewa.
Berkongsi Cerita...
Carilah masa yang sesuai untuk bersembang dengan anak tentang apa saja perkara. Anak akan lebih bersifat terbuka jika anda mempraktikkan komunikasi yang tidak formal dan bersembang dengan seorang kawan.
Undang Rakan-Rakannya...
Cadangkan kepada anak untuk menjemputkan rakan-rakan rapatnya datang ke rumah sebelum dia merengek meminta anda mengizinkannya membawa kawan datang ke rumah. Tanyakan padanya apa yang boleh anda sediakan untuk meraikan kehadiran kawan-kawannya.
Belainya Dengan Urutan...
Semakin besar anak, semakin aktif kehidupan hariannya apatah lagi anak lelaki. Keluhan seperti lenguh kaki dan sakit kepala adalah perkara biasa. Sebelum dia meminta tolong, ada baiknya anda memicit kaki dan kepalanya. Meskipun anda bukan pakar dalam mengurut, sentuhan ibubapa yang penuh kasih sayang mampu melegakan kesakitan.
Baca Akhbar Bersama...
Lakukan bersama khususnya ruangan yang anda dan dia minati seperti ruangan sukan, kartun dan hiburan.
Kongsikan Kemahiran...
Jika anda mahir menjahit, memasak, dan bertukang perturunkan kemahiran tersebut kepada anak jika dia menunjukkan minat. Begitu juga jika anak anda mahir bermain video games atau kasut roda. Perkongsian kemahiran ini menjadikan hubungan ibubapa dan anak lebih ceria.
Ingat Tarikh Penting...
Cuba ingati tarikh-tarikh atau waktu-waktu penting selain tarikh hari jadi anak. Misalnya bila waktunya dia mula pandai berjalan, bercakap, tumbuh gigi.
Raikan Kejayaaannya Di Tempat Istimewa...
Kejayaan adalah satu detik yang paling istimewa dalam hidup anak dan sewajarnya dia diraikan di tempat yang istimewa juga sebagai ucapan tahniah untuknya. Anda mungkin boleh membawanya menikmati makan malam di restoran pilihannya.
Belikan Makanan...
Jika anda terpaksa pulang lewat dari tempat kerja dan tidak sempat menyediakan makanan untuk keluarga, beli makanan kegemaran seisi keluarga dan nikmatinya di rumah.
Dapatkan Filem Kegemarannya...
Jika anda sekeluarga tidak gemar ke panggung wayang, cuba dapatkan VCD filem yang ingin anak anda tontoni. Anda boleh meminjamnya dari rakan-rakan atau membelinya tetapi pastikan anda tidak membeli VCD cetak rompak.
Temankan Anak Tidur...
Anak anda masih belum begitu tua untuk ditemani sebelum masuk tidur. Anda boleh mendendangkan lagu, berbual atau mengelus-elus rambutnya sehinggan dia terlena.
Jadi Kawan Karib...
Ibu sepatutnya menjadi kawan anak yang paling rapat. Sentiasalah menjadi pendengar yang baik dan berikan pandangan jika dirasakan perlu.
Beri Peluang Membuat Keputusan...
Masa Untuk Bersendirian...
Anak-anak juga seperti orang dewasa yang ada kalanya ingin bersendirian. Jika ini yang diinginkannya, biarkan sahaja dan pastikan dia tidak diganggu.
Minta Buah Fikirannya...
Sekali sekala, dapatkanlah pandangan tentang sesuatu perkara sebelum anda membuat keputusan. Misalnya, padangan tentang aktiviti yang ingin dilakukan pada cuti persekolahan.
Dapatkan Pengasuh/Pembantu Rumah Yang Disukainya...
Separuh daripada masanya dihabiskan bersama pengasuh atau pembantu rumah. Jadi, pastikan dia menyenangi dan menyukai orang yang menjaganya sepanjang peninggalan anda ke tempat kerja.
Suapkan Makanan...
Tiada salahnya anda menyuapkannya makanan walaupun dia bukan lagi anak kecil.
Bacakan Buku...
Pilih buku yang mempunyai nilai moral kasih sayang dan bacakannya untuk anak walaupun dia sudah boleh membaca. Duduklah rapat dengannya atau biarkan dia duduk di riba anda.
Temankannya Bermain...
Bila ada kelapangan, temankannya bermain.
Jemputnya Pulang Dari Sekolah...
Jika kebiasaannya dia pulang menaiki bas sekolah, lakukan kelainan dengan menjemputnya sendiri. Dia bukan sahaja terkejut melihat anda menanti luar pagar sekolah malah anda pastinya akan terdengar dia berkata dengan riang "eh mama saya datanglah".
Hubungilah Guru Atau Pengasuh...
Telefonlah guru atau pengasuh untuk mengetahui perkembangan anak. Dengan cara ini, anda akan dimaklumkan tentang perkara-perkara yang baru dikuasainya yang mungkin tidak sempat anda saksikan dirumah.
Buka Akaun Peribadi...
Pastikan anda membuka akaun simpanan bagi setiap orang anak bagi menjamin masa depannya.
Pergi Melancong...
Sekurang-kurangnya, peruntukkan satu masa untuk pergi melancong bersama keluarga.
Hadiri Mesyuarat Sekolah...
Setiap sekolah mengadakan mesyuarat PIBG pada setiap tahun. Meskipun anda bukanlah ahli jawatan kuasa PIBG, luangkanlah masa untuk menghadirinya sebagai sokongan anda kepada anak dan pihak sekolah.
Tunjukkan Sokongan...
Sokongan anda menerima semangat dan kekuatan kepada anak terutamanya takkala anak bakal menghadapi peperiksaan atau menyertai pertandingan tertentu. Anda boleh menemaninya mengulangkaji pelajaran atau menyaksikan pertandingan yang disertainya.
Bergurau Senda...
Usah terlalu serius dengan anak. Bukankah anda mahukan anak menghormatinya dan bukannya takut pada anda? Jadi, selalulah bergurau senda dengan anak. Ini juga akan menceriakan kehidupan anda sekeluarga.
Sekuntm Bunga Ros...
Belikan sekuntum bunga ros dan selitkannya di celah bantak anak.
Doakan Kejayaan Dan Kesejahteraannya...
Sentiasalah mendoakan anak.
TERUSKAN SAHAJA KATAKAN "MAMA/IBU SAYANG KAMU"...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan