Ahad, 2 Januari 2011

Kasieh Tercinta

Tuhan telah membeikan kami seorang ibu yang baik. Pengganti mama yg paling tepat di sisi hati papa. Dia pembebat luka papa yang menitis darah pekat di keping hatinya. Dia dihantar oleh Tuhan untuk kami. Kala itu, mama datang menyembah di kaki papa, memeluk kemas dan erat aku sambil air matanya mengalir seperti air sungai. Memohon setaman simpati, merayu kemaafan yang sekian lama dinanti oleh kami.

Bukan aku menafikan bahawa perempuan itu telah menanam aku di rahimnya daripada benih papa yang penuh cinta dan kasih tetapi akhirnya mama tergamak menghancurkan seluruh cinta dan kepercayaan itu. Mama tidak sanggup hidup bergelumang dengan derita kemiskinan di samping papa. Perniagaan papa lingkup angkara orang kepercayaannya.

Uncle Chairil, kawan baik papa sendiri yang menjadi dalang, gunting dalam lipatan. Dia merampas segalanya daripada papa termasuk p\mama. Ketika itu, usiaku 10 tahun. Aku masih mentah untuk mengerti makna kesetiaan dan kecurangan. Tapi papa tabah setabah ombak yang memukul pantai tanpa kenal jemu.

Papa bangkit tanpa peduli pada kepedihan hatinya. Sebelum tidur, papa akan mencium pipiku sambil berkata, "Jangan benci akan mamamu, sayang. Mama mungkin terleka pada harta dunia dan mabuk dengan candu cinta. Dia akan kembali kepada kita. Kita akan hidup bahagia seperti dulu. Kasieh, jangan berhenti berrdo a , semoga esok mama kemabli. Kasieh kekuatan papa. Kalau Kasieh tidak ada di sisi papa, papa mungkin sudah lama tenggelam dalam sedih dan luka.

Hatiku ketika itu tertanya, apakah mama masih mampu diampuni tapi segala kekesalan terhadap perbuatan mama itu terhapus dan lenyap apabila aku teringat akan kata-kata yang keluar dari bibir papa sendiri.

"Kemaafan akan mendamaikan hatinmu" Kata papa.

Sepuluh tahun aku hidup tanpa kasih sayang seorang perempuan bernama mama. tetapi aku tetap bahagian kerana kasih papa tiada tandingannya. Akhirnya, papa bertemu juga pengganti mama. Mawar Balgis, cantik nama itu secantik wajah dan pekertinya. Dia juga ibu tunggal yang ditinggalkan suami dan mempunyai seorang anak lelaki sebaya denganku. Abang Aliff Mustaqim, ku panggil lelaki itu.

Hubungan abg Aliff dengan papa pada mulanya agak dingin. Mungkin abang Aliff tidak dapat menerima kenyataan bahawa mamanya telah dirampas lelaki lain. Kulihat, papa banyak mengalah dengan abg Aliff.

Cara papa sangat berdiplomasi dengan kerenah abg Aliff yang aku kira kadang-kadang bersikap keanak-anakan. tidak padan dengan usianya yang sudah meningkat ke angka 20 tahun. Mungkin dia mahu perhatian daripada papam kerana selama ini dia tandus kasih sayang seorang ayah.

"Kau beruntung. abg Aliff"
"Jangan panggil aku, abang! Aku tidak selesa dan tidak mungkin aku akan menjadi abangmu secepat ini. Mengapa aku beruntung?"
"Kerana papa yang menjadi papa tirimu."
"Kau juga bertuah kerana mamaku yang menjadi mama tirimu."
"KIta serupa. Sama-sama kehilangan dan memerlukan kasih yang selama ini hilang."
"Siapa kata kita serupa? Mamamu seorang perempuan yang curang. Tergila-gila lelaki lain dan akhirnya meninggalkan papamu tetapi papaku diambil Tuhan kerana penyakit barah otaknya. Kau layak membenci dan memusuhi mamamu tapi aku, sehingga kini papaku abadi di dalam hatiku."
"Jadi, kau lebih bertuah daripada aku, Aliff. Mungkin kau silap dalam menghitung cinta dan kasih yang pernah berbunga di dahan hatiku. Mama tetap berjasa padaku. Dia yang menghantar aku di dunia ini. Aku tidak layak membencinya. Mungkin dia berdosa. Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa, Aliff.
"Aku tidak mahu ada orang lain yang mengganti ruang kosong yang ditinggalkan oleh papaku."
"Izinkan mamamu bahagia, Aliff. sudah lama mamamu kesepian tanpa cinta."
"Hanya kerana kau juga seorang perempuan seperti mama kau tahu hidupnya dalam kesepian?'
"Kerana aku selalu melihat kesepian di mata papaku. dia memerlukan teman untuk bercerita tentang cita-cita dan hari depan. Dia perlukan pendorong dan pembakar semangatnya yang kadang-kadang terpadam kerana gelapnya sepi yang menyelubungi hatinya."
"Papamu bukan mamaku, Kasieh!"
"Jangan mementingkan diri sendiri, aliff. Sampai bila kau mahu bertenggek di sisi mamamu? Sampai masanya, kau akan tinggalkan mamamu dalam sepi apabila kau bertemu seorang suri pelengkap hidupmu."
"Aku akan menjada mamaku sampai bila-bila."
"Tapi bagaimana dengan kesepiannya yang berkurun?" Dia tidak menjawab soalan itu.

Beransur-ansur pendirian dan kebencian Aliff Mustaqim menjadi cair. Aku tahu papa yang banyak melentur dia menjadi manusia yang lebih menghargai ikatan kasih sayang. Papa sanggup menemani Aliff menonton perlawanan bola sepak sehingga larut malam atau pendengar masalah lelakinya, berkongsi minat motosikal berkuasa tinggi atau bercerita tentang masa depan. Mereka penyokong fanatik Liverpool, sama-sama menggemari Formula One dan sama-sama mendaftar kelas taekwando.

Aliff tidak menolak apabila papa mengajaknya tinggal bersama-sama kami. Mungkin selama ini papa menyimpan impian untuk memiliki anak lelaki yang mampu berkongsi minat dan kesukaan yang sama.

Mama Mawar terharu dengan perubahan anak lelaki itu. Dia sendiri tidak menyangka, papa dapat mengubah Aliff ke satu tahap yang amat membanggakan. Dia juga tidak menyangka selama ini dia gagal menyelami jiwa dan keperluan Aliff.

Perhubungan aku dengan mama Mawar juga manis. Semanis cinta pertama yang terlalu aku dambakan. Kami sering bercerita kisah wanita, menghabiskan masa mencuba resipi baru, belajar menyulam atau kadang-kadang kami akan bertadarus bersama. Impian papa yang menginginkan keluarga bahagia akhirnya tercapai. Tahun lepas kami sekeluarga mengerjakan umrah bersama.

Hujung minggu itu, aku melawat mama. Ada berita penting yang mahu aku sampaikan kepadanya. Tentang peminangan Tenky Ryzal Raihan. Walaupun perempuan itu semakin jauh daripada aku dan pernah menindakkan kewujudanku tetapi aku cuba mendekatinya. Bukan mama Mawar yang menumpulkan dan menjarakkan kasih sayang itu tetapi perpisahan tanpa pertemuan selama 10 tahun itu penyebabnya.

"Jangan ajar hatimu membenci, Kasieh. dia mamamu, perempuan yang membawa mu ke dunia fana ini. Walau siapa pun dia, di dunia dan akhirat, dialah mamamu," ulang papa berkali-kali.

"Jenguklah dia. Hiburkan hatinya. Dia sedang berduka kerana kehilangan orang dikasihi. Uncle Chairil sudah meninggal kerana serangan jantung." Terlalu pantas masa berlalu. Kini mama pula didera kesepian dan kehilangan. Benarlah hidup ini umpama roda.

Ketika sampai di rumah tinggalan nenek itu, mama sedang menidurkan Daniel yang panas sedikit badannya. Mama memberitahu Fatihah ke sekolah apabila aku tanya kelibat anak perempuannya yang tidak kelihatan.

Biasa sahaja anak manis itu memanggilku kakak dan mahu bermanja denganku. kalau mengunjungi mama, aku tidak lupa membawa buah tangan. Mungkin dengan cara itu hati mereka akan sedikit terhibur. Kehilangan orang yang tersayang membawa kepedihan dan kepahitan yang cukup menyeksakan.

aku mengerti perasaan itu tapi dulu tiada siapa menghiburkan aku. Hanya nenek sesekali datang menjenguk tapi sejak nenek pergi ke alam abadi, aku kembali sepi. Hanya papa yang sedia membunuh sepiku.

"Pengajianmu bagaimana?"
"Tinggal satu semester lagi, ma"
"Selepas ini Kasieh akan terus berkahwin dan membiarkan orang yang tidak kena mengena, menggantikan tempat papa menerajui Kasieh Holdings? Mengapa papamu menyusukan kera di hutan, dagang diletakkan di tempat mulia? Mama Mawar ada niat yang serong, Kasieh," ujarnya sinis.

Mungkin mama terlupa, kerana percayakan orang luar juga papa pernah hilang segalanya tapi pisang tidak mungkin berbuah dua kali. Pengalaman lalu banyak mengajar papa.

"Kasieh mahu menjadi peguam yang handal. Itu cita-cita Kasieh sejak dulu lagi."
"Mengapa Kasieh tidak mengambil alih tempat papa? Sampai masanya papa akan bersara. Siapa lagi waris papa yang ada selain Kasieh? Kasieh Holdings perlu diterajui oleh darah daging sendiri."
"Kasieh tidak berminat, ma! Mama tidak perlu bimbang tentang itu. Papa lebih tahu apa yang harus dilakukan."
"Mama fikirkan Kasieh. Mengapa cari susah, Kasieh? syarikat papamu sudah mampu membuat hidupmu senang lenang."
"Jangan desak Kasieh. Papa sendiri tidak pernah memaksa Kasieh."
"Tengku Ryzal Raihan bukankah pilihan papamu? Anak kawan karib papamu yang lulusan pengajian perniagaan dari luar negara. Itu rancangan papamu, Kasieh. Kepada keluarga bangsawan itu mahu ditambunkan kekayaan. Sampai sekarang mama ragu-ragu dengan hubungan papamu dengan Tengku Iskandar, bakal mentuamu itu. Malah Mawar Balqis bukan orang lain. Anak buah Tengku Iskandar sendiri." bicara mama tiada noktahnya.

Mungkin mama tidak tahu atau pura-pura lupa, ketika papa tinggal sehelai sepinggang, Tengku Iskandarlah yang membangkitkan papa dengan menyuntik modal dan membangunkan semula semangat papa yang bertabur kerana pengkhianatan sahabat baiknya sendiri.

Ah, aku jadi gerun dengan sepak terajang dunia perniagaan. Kerana itu, aku memilih untuk menjadi pembela orang-orang malang seperti papa melalui perundangan yang adil.

"Selepas itu, papamu menarik masuk anak tirinya yang tiada asas perniagaan langsung dalam Kasieh Holdings. Mungkin kerana desakan Mawar Balqis. Mama tahu semuanya, Kasieh." Mungkin mama sakit hati dengan papa. Biarlah. Yang benar tetap benar suatu hari nanti.

Suatu hari aku menerima e-mail daripada Tengku Ryzal Raihan yang kini menjadi tunangku. Walaupun aku tidak mengenali lelaki itu dan tiada cinta di hati tapi aku buang segala kegelisahan di hati kerana aku tahu pilihan papa sentiasa tepat.

Kasieh, gementar dadaku apabila ayahanda memberitahu aku telah ditunangkan dengan seorang bakal peguam, puteri kepada sahabat terakrabnya tanpa memohon sejalur pun persetujuan daripadaku.
Mungkin ayahanda punya agendanya tersendiri tapi kukira tiada yang serong kerana aku tahu persahabatan ayahanda dengan Datuk Khalid  terlalu murni. Kasieh, sejak dulu lagi aku tidak pernah menentang permintaan ayahanda. Segala hajatnya ayahanda ialah hajatku. Tapi kali ini terlalu berat untuk aku menerima hasrat suci ayahanda itu.
Aku takut aku gagal untuk mencintaimu kerana cinta bukan rasa yang terburu. Aku banyak tahu tentangmu daripada ayahanda dan juga daripada teman karibku sejak kecil - Aliff Mustaqim. Ternyatqa dalam diam-diam aku sedang merebut kau daripada dia. Dia mencintaimu, Kasieh.


Aku tergamam dengan ayatnya yang terakhir ditulis oleh Tengku Ryzal itu. Tidak mungkin dapat kubalas rasa cinta yang terbit di hati Aliff Mustaqim. Dia telah kuanggap seperti abang kandungku sendiri. Tapi bagaimana haru kukatakan kepadanya. Aku tidak mahu kebahagian kami menjadi longgar. Kalau diam-diam Aliff Mustaqim mencintai aku itu salah aku. Mundkin dia masih keliru antara cinta dan kasih.

Benar Kasieh, aku mencintaimu sejak kita ditemukan lagi. Mungkin aku terpegun dengan ketabahamu tetapi aku tidak kecewa kalau kau menolak. Mungkin hakmu adalah lelaki yang lebih baik daripadaku tapi percayalah menjadi abangmu sudah membuatkan hidupku lebih sempurna - Aliff Mustaqim.

Coretan itu membuat aku terharu. Semoga hidupku menjadi lebih sempurna dan aku doakan dia bertemu cintanya....

SEKIAN....

Karya-Fauziah Mohd Ismail -Majalah mingguan Wanita

Tiada ulasan: