Soalan:
Kita sering dihidangkan air zamzam daripada sahabat yang kembali dari ibadah haji atau umrah. Apakah adab dan ajaran Islam ketika minum air zam-zam?
Jawapan:
Air zamam merupakan sebaik-baik air di muka bumi. Kehadirannya berserta pelbagai kelebihan tidak dapat disangkal lagi. Nabi s.a.w. mengakuinya dalam sabda Baginda yang bermaksud: "Air zamzam itu diminum mengikut apa yang diniatkan atau dikehendaki." (Ibn Majah, 2/1018, al-Maqasid al-Hasanah oleh al-Sakhawi, halaman 359).
Adab meminum air zamzam adalah sama seperti meminum apa jua air menurut sunah Nabi s.a.w. Cuma terdapat beberapa adab tambahan iaitu seharusnya sebelum minum air zamzam, kita menetapkan apa jua niat semoga ia dimakbulkan Allah.
Daripada Abdullah Bin Abi Mulaikah, katanya: "Seorang lelaki datang menemui Ibn Abbas, lalu bertanya Ibn Abbas: 'Tuan datang dari mana? Lelaki itu menjawab: 'Saya baru lepas minum air zamzam.' Tan Ibn Abbas lagi: 'Adakah tuan minum mengikut cara yang sepatutnya?' Lelaki itu sebaliknya bertanya pula: 'Bagaimanakah caranya wahai Ibn Abbas?' Maka Ibn Abbas pun menjelaskan:
'Apabila minum air zamzam hendaklah mengadap kiblat, sebutkan nama Allah (baca Bismillah) dan bernafas di luar bekas, kemudian baru teguk lagi, dan (sesudah minum) ucapkan pujian kepada Allah (baca Alhamdulillah). Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ada bersabda: 'Perbezaan di antara kita dan orang ramai (munafik) adalah mereka itu tidak suka minum air zamzam' (Riwayat al-Daruqutni dan Ibn Majah)
Contoh doa ketika minum air zamzam seperti yang diamalkan sahabat adalah berdasarkan riwayat 'Ikramah bahawa adalah Ibn Abbas r.a. apabila minum air zamzam beliau berdoa:
"Maksudnya- Ya Allah ya Tuhanku, aku memohon kepada Mu supaya dikurniakan ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan daripada segala penyakit." (Riwayat al-Daruqutni dan Ibn Majah).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan