Jumlah korban banjir termasuk kelmarin menjadi enam orang. Tiga korban banjir semalam ialah dua di Kedah dan seorang di Perlis.
Di ALOR SETAR, dua beradik perempuan berusia 13 dan 8 tahun dikhuatiri lemas selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas ke dalam tali air di Kampung Telaga Emas, Langgar, di sini, tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Siti Nadia Shukur, 13, dan adiknya, Sharipah, 8, bersama seorang rakan mereka, Intan Malik, 14, terbabas ke dalam tali air selepas motosikal yang dinaiki mereka hilang kawalan akibat ditolak arus deras.
Di KANGAR, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke Sungai Bahru bersama basikal yang ditunggangnya, di sini, petang semalam.
Kejadian berlaku ketika mangsa, Muhammad Nurul Afiq Mohd Rozaidi, 21, yang berasal dari pekan Simpang Empat, di sini, melalui jalan pinggir sungai terbabit, kira-kira jam 1.05 petang sebelum tergelincir dan terjatuh ke sungai.
Mayat wanita Jerman, Erna Fischer, 64 yang dihanyutkan arus deras di Kampung Kerinjis, Kota Giam di Jitra, kelmarin ditemui di penduduk dan anggota penyelamat petang semalam.
Sementara itu Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, Qahar Osman, berkata pihaknya menjangka banjir di negeri ini bertambah buruk hari ini, berikutan air dari kawasan tinggi termasuk Padang Terap dan Jitra melimpah ke kawasan rendah khususnya di daerah Kota Star.
Beliau berkata, keadaan air laut pasang juga akan memperlahankan aliran air sungai di sepanjang Lembangan Sungai Bata di Jitra dan lembangan Sungai Padang Terap.
Ditanya sama ada banjir di Selatan Thailand akan memburukkan lagi keadaan, Qahar berkata, banjir di negara jiran berkenaan tidak akan menjejaskan kawasan rendah di negeri ini, namun ia mungkin menjejaskan beberapa kawasan di sempadan.
“Justeru, walaupun cuaca cerah, kita jangka banjir di daerah Kota Star akan bertambah buruk dalam masa tiga hari ini berikutan permukaan muka bumi di Alor Setar lebih rata dari daerah lain,” katanya.
Sehingga jam 10 malam tadi, Kubang Pasu mencatat mangsa dipindahkan paling ramai iaitu 17,080 orang di 48 pusat pemindahan, manakala Padang Terap 4,197 orang di tempatkan di 39 pusat pemindahan.
Di Kota Star, 4,220 orang dipindahkan ke 19 pusat pemindahan dan Pokok Sena, 1,396 di pindahkan ke 18 pusat pemindahan.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (Kedah) berkata, pihaknya akan menggunakan khidmat helikopter tentera berikutan ada sebahagian kawasan banjir tidak dapat dimasuki dengan kenderaan pacuan empat roda termasuk bot dan lori.
Pengarah JPS Perlis, Nishad Mohamed Mohd Shaffy berkata, pihaknya menjangka banjir di Perlis akan berlarutan dua hari lagi.
Bagaimanapun, tinjauan di sekitar bandar ini semalam mendapati paras air di beberapa lokasi sekitar bandar ini terutama di Seriab dan Bintong semakin meningkat, menyebabkan lebih banyak mangsa dipindahkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan