Isnin, 15 November 2010

Tersedak susu

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan mati dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan pengasuhnya di Taman Melati, Wangsa Maju, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, bayi berkenaan, Yusuf Razzin, dihantar pengasuhnya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam keadaan tidak sedarkan diri.


Sumber berkata, pihak hospital cuba membuat bantuan pernafasan selama 35 minit dengan menggunakan injap pernafasan ke atas mangsa, tetapi tidak berjaya.

“Bayi itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. Bagaimanapun, punca kematiannya masih tidak diketahui kerana bapa mangsa yang bekerja sebagai setiausaha menolak untuk melakukan bedah siasat ke atas mayat anaknya itu,” katanya.


Katanya, bapa bayi lelaki berusia 29 tahun itu juga tidak akan mengambil tindakan perundangan kepada pengasuhnya selepas menyedari tubuh badan anaknya itu bebas daripada kesan lebam atau tanda seperti didera. Difahamkan, bayi itu yang tidur selepas diberi susu dan beberapa minit kemudian, pengasuh berkenaan mendapati bayi itu tidak sedarkan diri sebelum menghantarnya ke HKL untuk rawatan. Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan kes terbabit.


“Pemeriksaan doktor mendapati tiada kesan kecederaan pada bayi berkenaan dan bayi itu mati dipercayai akibat lemas. Kami mengklasifikasikan kematian bayi itu sebagai kematian mengejut,” katanya. Sebelum ini, sepasang suami isteri kematian anak berusia sembilan bulan pada 20 September lalu, dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan di pusat asuhan di Presint 18, Putrajaya.

1 ulasan:

Adilnisa berkata...

فَسُبْحَانَ الَّذِي بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan